Tuesday, 28 April 2015

Kewajaran Perlaksanaan Akta Pencegahan Keganasan 2015


ASSALAMUALAIKUM



AKTA PENCEGAHAN KEGANASAN 2015 (POTA)

Sebelum memulakan perbincangan mengenai POTA ini, nak cerita sedikitlah serba sedikit mengenai POTA. POTA ialah Prevention of Terrorism Act atau dalam Bahasa Malaysia ialah Akta Pencegahan Keganasan. Akta ini telah diluluskan oleh kerajaan Malaysia pada 7 April 2015 di Dewan Rakyat. Menurut Perdana Menteri sendiri, tujuan perlaksanaan POTA adalah untuk mencegah sebarang elemen keganasan daripada merebak dan mengancam keselamatan negara. Sebelum semakin banyak keganasan berlaku di Malaysia ini, seeloknya tindakan pencegahan haruslah diambil oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia. Akta ini juga membenarkan pihak berkuasa Malaysia untuk menahan suspek pengganas tanpa perbicaraan untuk tempoh dua tahun. Namun begitu, perlaksanaan akta ini mendapat kritikan daripada beberapa individu kerana menyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah dimansuhkan pada tahun 2012.

Jadi, apakah kebaikan akta ini kepada rakyat Malaysia ? Pada pendapat saya,  ia adalah wajar dilaksanakan. Ini kerana sudah semakin banyak ancaman keganasan yang telah diterima oleh negara kita. Secara individunya juga, ramai yang turut menerima ancaman keganasan seperti diugut. Jadi, dengan adanya akta ini, penjenayah akan lebih takut untuk bertindak melakukan keganasan.

Akta ini juga untuk memastikan rakyat dan keamanan negara tidak diganggu gugat oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti militan sama ada dalam atau luar negara. Sebagai contoh, semasa kes di Lahad Datu, sehingga kini pengganas masih lagi bebas setelah begitu ramai anggota polis negara yang terkorban.

Di samping itu, pengguna media sosial juga turut terkena impak pelaksanaan akta baru ini. Sebagai contoh, pengguna Facebook, Twitter dan Blog serta lain-lain media sosial tidak boleh menyebarkan sebarang maklumat yang mempunyai elemen keganasan yang boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat. Maklumat tersebut hendaklah dipastikan kesahihannya sebelum ianya disebarkan. Kini, terlalu banyak penyebaran berita-berita palsu tersebar melalui media sosial. Namun, dengan adanya akta ini pengguna media akan lebih berhati-hati dengan apa yang mereka ingin sebarkan.

Secara amnya, akta pencegahan keganasan ini ialah bukan bayangan ISA ataupun akta yang menggantikan ISA seperti yang digembar gemburkan oleh parti pembangkang. Namun begitu, terdapat pihak yang bimbang mengenai pelaksanaan POTA. Mereka menanggap akta ini digunakan untuk tujuan politik semata-mata seperti mana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini. Mereka silap ! Pelaksanaan ini adalah untuk menangani sebarang aktiviti keganasan dari dalam atau luar negara yang semakin menular di Malaysia terutamanya generasi muda.

Berikutan berlakunya kejadian keganasan seperti kejadian di Lahad Datu, Militan, IS, pihak kerajaan telah bertungkus lumus merangka tindakan untuk mengawal kejadian ini daripada berulang semula. Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan adanya akta seperti ini, pihak bertanggungjawab seperti kerajaan dan PDRM dapat mengambil tindakan awal sebelum kejadian yang lebih buruk berlaku.

Kesimpulannya, Undang-Undang Anti-Keganasan ini merupakan satu langkah pencegahan yang baik dan semua pihak hendaklah memandang positif mengenai perlaksanaan akta baru ini. Namun begitu, disetiap tindakan yang diambil pastinya akan ada kesan dari segi kebaikan dan keburukan terhadap rakyat Malaysia. Justeru, pelbagai penambahbaikkan boleh diambil sepanjang proses perlaksanaan akta Anti-Keganasan ini. 

Wednesday, 15 April 2015

Pembantu Rumah Mati Dibunuh (Simulasi Berita)


* Berita ini adalah rekaan semata-mata. Ini adalah sebahagian daripada simulasi berita bagi subjek Online Journalism



Pembantu Rumah Mati Dibunuh


Oleh Nur Syafikah Shahrom

SHAH ALAM : Seorang wanita ditemui maut dengan kesan tembakan di dadanya dalam sebuah kereta di kawasan sekitar tapak pembinaan di Seksyen 15, dekat sini, pagi tadi.

Menurut saksi, Rudy Hermanto Sorjono, mangsa ditemu mati dengan berlumuran darah di dalam kereta yang enjinnya masih hidup dan radio yang masih terbuka.

“Saya pelik bila nampak pintu kereta tersebut terbuka. Saya dapati ada perempuan berlumuran darah lantas memanggil kawan saya”, tambah Rudy.


Pihak polis dan ambulans bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang buruh binaan itu pada jam 6.40 pagi.

Menurut ASP Syed Jamil Syed Agil Barakba Jamalulail, selepas siasatan dijalankan, pihak polis mengesahkan mangsa ialah Yanty Octavia Darsono dari Indonesia yang berusia 19 tahun.

“Pihak kami tidak menemui sebarang pistol atau senjata. Tetapi, terdapat kesan lebam di lengan mangsa akibat pergelutan dengan suspek sebelum mangsa ditembak”, tambah Syed Jamal.

Mangsa bekerja sebagai pembantu rumah di rumah seorang ahli perniagaan iaitu Datuk Sharmugam Arrupillay.

Pihak polis turut menemui cap jari milik Ravi Ananda Arrupillay yang merupakan anak tunggal majikan mangsa di lengan dan kereta yang dipandu mangsa.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.

Pihak polis masih lagi menyiasat motif pembunuhan dan sedang memburu suspek tersebut iaitu Ravi Ananda Arrupillay.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini hendaklah tampil untuk memberikan kerjasama. 

Tamat /-